KOTA KINABALU: DAPSY Sabah menggesa Kerajaan Negeri menambah peruntukan biasiswa UEC dalam Belanjawan Sabah 2026, sambil mengecam Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh atas kenyataannya yang menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei berkata, Akmal mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan apabila menolak pengiktirafan UEC, sedangkan Malaysia telah lama menerima kelayakan antarabangsa seperti O-Level, CAIE dan GCSE bagi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi.
“Jika kelayakan luar seperti O-Level diiktiraf tanpa masalah, apa alasan untuk menolak UEC yang merupakan kelayakan tempatan dan telah wujud lebih 50 tahun?” katanya.
Chan menegaskan UEC telah melahirkan ramai graduan cemerlang dalam pelbagai bidang profesional dan dakwaan bahawa pengiktirafannya menjejaskan perpaduan atau Bahasa Malaysia adalah tidak berasas, kerana pelajar tetap memenuhi keperluan bahasa kebangsaan serta syarat universiti.
Menurut Chan, Sabah sudah membuktikan pendekatan progresif apabila pentadbiran terdahulu mewujudkan Dana Biasiswa UEC berjumlah RM5 juta, hasil kerjasama antara bekas Menteri Phoong Jin Zhe dan Ketua Menteri ketika itu.
Dana itu, katanya, merupakan pengiktirafan sebenar kerana memberi bantuan kewangan terus kepada graduan UEC, termasuk peluang melanjutkan pengajian di institusi Yayasan Sabah.
Chan turut menegaskan bahawa sekolah menengah persendirian Cina di Sabah mengamalkan model dwi-aliran yang merangkumi kurikulum SPM dan UEC, yang membantu memperkukuh asas akademik, meningkatkan keupayaan pelajar serta membina penguasaan tiga bahasa.
“Sekolah-sekolah ini juga menjadi platform penyatuan kerana turut menarik pelajar bukan Cina dan mewujudkan interaksi budaya yang sihat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini turut meningkatkan peruntukan pendidikan sehingga RM70 juta pada 2025, merangkumi sokongan kepada sekolah mubaligh, sekolah persendirian dan badan keagamaan bukan Islam, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan bakat menyeluruh.
Chan menambah, lebih 1,000 universiti di seluruh dunia serta lebih 300 institusi swasta di Malaysia mengiktiraf UEC, menjadikannya sejajar dengan kelayakan antarabangsa lain.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Sabah baharu meneruskan dasar progresif terdahulu dan menambah peruntukan Biasiswa UEC dalam Belanjawan 2026, selaras dengan usaha negeri memperkukuh kerjasama ekonomi termasuk dengan China serta menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Pendidikan tidak boleh dijadikan senjata politik. Kita perlu utamakan pembangunan bakat, mengekalkan golongan muda berkemahiran dan membina tenaga kerja multilingual yang kompetitif,” katanya sambil menyeru pemimpin nasional meletakkan fakta di atas ketakutan dan kemajuan mengatasi politik dalam membentuk masa depan pendidikan negara.






