Kerap Adakan Konvensyen GLC Sabah Untuk Mantapkan Perkhidmatan Staf – James

Kerap Adakan Konvensyen GLC Sabah Untuk Mantapkan Perkhidmatan Staf – James

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa agar Konvensyen Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sabah dianjurkan secara berkala bagi memperkukuh keupayaan, profesionalisme dan kualiti perkhidmatan kakitangan GLC di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penganjuran konvensyen seperti itu wajar diadakan setiap bulan, dua bulan atau sekurang-kurangnya setiap tiga bulan selaras dengan hasrat Ketua Menteri agar semua GLC melaporkan prestasi mereka secara berkala.

“Konvensyen ini memberi pendedahan, pengalaman dan pengetahuan baharu kepada kakitangan GLC di Sabah. Ia penting untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih cekap dan berimpak, sekali gus membantu GLC mencapai hasil yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Transformasi GLC Sabah 2026 yang dianjurkan oleh HRD Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

James berkata, konvensyen itu merupakan penganjuran pertama seumpamanya di Sabah oleh HRD Corp di peringkat Persekutuan dan disertai 74 GLC yang berdaftar dengan agensi berkenaan.

“Saya berharap HRD Corp dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada GLC di Sabah, termasuk menyediakan kursus-kursus khusus bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan syarikat-syarikat swasta di Sabah, termasuk sektor perkhidmatan seperti restoran, untuk bekerjasama dengan HRD Corp dalam menganjurkan kursus latihan kepada pekerja, khususnya berkaitan disiplin kerja dan layanan pelanggan.