KOTA KINABALU, SABAH – Suatu usul percaya semasa persidangan parlimen seterusnya iaitu pada bulan September bagi menentukan sokongan majoriti kepada Perdana Menteri adalah perkara yang paling tepat dilakukan sesuai dengan perlembagaan dan demokrasi berparlimen dalam sistem raja berperlembagaan.
Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee berkata Ini juga merupakan cara yang paling efektif untuk menghentikan politik yang tidak berkesudahan yang telah menimbulkan banyak kesusahan dan kekecewaan kepada rakyat.
“Rakyat ingin melihat kesudahan perebutan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) dan membenarkan PM dan Kerajaan pimpinannya kembali melaksanakan Pelan Pemulihan Negara…
“Dengan proses vaksinasi COVID-19 yang dipercepatkan, hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum kita mencapai imuniti kelompok dan melihat pembukaan semula ekonomi negara.
“Mungkinkah pihak pembangkang risau bahawa wabak Covid akan segera berakhir dan ekonomi beransur pulih sehingga terpaksa berpaut kepada politik terdesak,” katanya.
Katanya lagi Pakatan Harapan (PH) sendiri yang telah mensia-siakan mandat rakyat yang telah diberi kepada mereka dengan melibatkan diri dalam perebutan kuasa dalaman yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan mereka sendiri.
“Pakatan telah membuat ‘political suicide’ pada Februari 2020, ketika PM Pakatan itu mengundurkan diri setelah sekian lama berderpan pertarungan kuasa dalaman dalam gabungan itu sendiri…
“Semua orang dapat melihat bahawa di antara mereka yang menginginkan perletakan jawatan Perdana Menteri, ada sekurang-kurangnya empat pesaing untuk jawatan PM,” tambah beliau.
Menurutnya, lebih mudah bagi mereka berpakat menjatuhkan PM daripada memutuskan siapa di kalangan mereka, yang menjadi PM sekiranya Tan Sri Muhyiddin kehilangan undi keyakinan.
“Oleh itu, saya sangat yakin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapat sokongan majoriti di Parlimen…
“Kita harus mengagumi ketenangan dan kemantapan Tan Sri Muhyiddin dalam menangani cabaran politik yang dilemparkan kepadanya.
“Inilah barisan pemimpin tekal iyang sangat diperlukan negara pada masa kritikal ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berkata ketabahan Perdana Menteri sangat berbeza dengan barisan pembangkang di mana tingkah laku mereka keterlaluan di dalam mahupun di luar parlimen telah membuat orang hilang kepercayaan terhadap mereka sebagai ahli politik.
“Anggota parlimen pembangkang secara terang-terangan melanggar protokol kesihatan dengan berhimpun di jalanan untuk memaparkan komedi sia-sia…
“Semua ahli parlimen Sabah yang mengambil bahagian dalam demonstrasi di Kuala Lumpur pada hari Isnin harus dikuarantin ketika kembali ke Sabah,” tegas beliau.