KINABATANGAN, SABAH -Tiga pekerja sebuah restoran di Kampung Gumantong Jaya melecur ketika dapur memasak yang sedang digunakan tiba-tiba terbakar dalam insiden 3.10 petang Jumaat kelmarin.
Jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata dua orang mangsa iaitu seorang lelaki, 20, dan wanita, 44, melecur di bahagian muka dan kaki.
“Manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 44 tahun melecur di bahagian leher, kaki dan tapak tangan.
“Kebakaran melibatkan dapur memasak jenis kekal berkeluasan 7’x16’ terbakar 10 peratus telah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera di lokasi kejadian Restoran Cafe 45.
“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital sebelum ketibaan jentera. Pasukan Bomba hanya menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain,” katanya.
Operasi kemudiannya ditamatkan pada pukul 4.24 petang.





