KOTA KINABALU, SABAH – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala lima individu berusia antara 19 hingga lingkungan 20-an cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang terbabas ke dalam longkang berhampiran Dewan Hakka, Jalan Signal Hill Park, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.52 malam itu, seorang lelaki berusia 19 tahun dan dua lelaki lingkungan 20-an mengalami cedera ringan, manakala seorang lelaki dan seorang perempuan lingkungan 20-an cedera parah.
Menurut sumber Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, mangsa meninggal dunia disahkan di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tamat jam 11.32 malam selepas kawasan disahkan selamat,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.
Sementara itu di Sook, dua lelaki termasuk seorang berusia 30 tahun cedera selepas kereta Toyota Single Cab dinaiki terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di Jalan Sook Nabawan Batu 27 pagi tadi.
Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba. Operasi tamat jam 7.26 pagi.
Dalam kes berasingan di Semporna, seorang wanita dan seorang lelaki cedera selepas Proton Exora dinaiki terbabas ke dalam longkang berhampiran stesen minyak di Bubul Lama, Jalan Kabongan, malam tadi.
Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum bomba tiba sebelum operasi ditamatkan jam 10.14 malam.






