
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 300 orang terlibat dalam kayuhan 15 kilometer bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, dalam Acara Berbasikal Bersama sempena dengan hari jadi rasmi beliau ke-68 pagi tadi.
Pelepasan peserta bermula jam 7.30 pagi di perkarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Satu lorong jalanraya dari bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke Menara Kinabalu ditutup dari jam 6 hingga 11 pagi bagi mereka melengkapkan pusingan.
Turut menyertai acara, ialah Toh Puan, Norlidah RM Jasni dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Setelah kembali ke bangunan DBKK, acara sambutan diteruskan dengan pemotongan kek hari jadi dan jamuan ringan.
Dr. Joachim mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turut menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar yang kemudiannya beredar pada 10.30 pagi.
