KUALA LUMPUR – “Kita akan ‘menyusahkan’ hidup kumpulan antivaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi,” demikian menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dengan tegas.
Kenyataan Khairy itu merujuk kepada tindakan individu enggan divaksin kerana mereka yang memilih untuk tidak diberikan pelalian berkenaan.
Khairy yang Ahli Parlimen Rembau dipetik laporan BH Online berkata, biar pun vaksin tidak diwajibkan tetapi kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.
“Kita mungkin tidak akan melaksanakan undang-undang Persekutuan yang mewajibkan pengambilan vaksin, tetapi menggalakkan undang-undang sektoral…
“Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak divaksin.
“Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanpun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di sini, hari ini.