Ketua ARMADA Kelantan Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Ketua ARMADA Kelantan Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

0
SHARE
Allahyarham Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz...

PASIR MAS, KELANTANKetua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz, 36, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Pohon Buluh, di sini, pagi tadi.

Perkhabaran dukacita itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbar Armada Kelantan Che Isham Sharudin Che Hamat Nordin yang memberitahu media bahawa Allahyarham meninggal dunia pada jam 6 pagi selepas selesai bersahur.

“Allahyarham difahamkan mengalami sakit dada dan rebah ketika sahur pagi tadi di kediamannya sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas. Allahyarham disahkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pasir Mas, buat masa ini jenazah arwah masih berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut.”

Menurutnya lagi, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Benta, Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas selepas solat Zohor.

Menurut sumber, Allahyarham meninggalkan dua isteri dan lapan anak.

Allahyarham Muhammad Amiin Ridhuwan yang juga Ketua Armada Pasir Mas merupakan seorang ketua yang cukup komited dan berani mendepani isu rakyat sepanjang diberikan mandat memimpin Armada Kelantan sejak tahun lepas.