KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai peneraju utama Kerajaan Negeri dan akan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dalam kerajaan mengenai agihan kerusi yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang kini bersama dalam Kerajaan Negeri akan diteruskan, namun rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi PRU belum dimulakan.
“Kerjasama itu akan kita teruskan dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri pada hari ini. Kita akan berunding dengan rakan-rakan kita dalam kerajaan.
“Tetapi diingatkan bahawa GRS adalah peneraju utama kerajaan negeri. Jadi kita akan bincang dengan mereka mengenai agihan kerusi yang akan dipertandingkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Ketua Menteri Sabah berkata, semua pihak perlu bersikap rasional apabila rundingan berkenaan diadakan kelak.
Menurutnya, kebolehmenangan akan menjadi antara kriteria utama dalam menentukan calon yang bakal diketengahkan bagi menghadapi PRU.
“Kita berharap kawan-kawan kita dalam kerajaan, parti-parti itu mestilah rasional dan kita akan tempatkan calon mereka yang boleh menang dalam pilihan raya nanti. Itu kriterianya,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata GRS sudah mula membuat persiapan awal menghadapi PRU dengan menggerakkan jentera parti di semua peringkat termasuk sayap-sayapnya.
Katanya, persiapan perlu dilakukan dari sekarang walaupun tarikh sebenar pilihan raya berkenaan masih belum diketahui.
“Sebagai parti yang mengetuai kerajaan, kita mesti bersedia daripada sekarang, menggerakkan parti semua peringkat termasuk sayap-sayap dengan turun ke bawah buat program untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum.
“Walaupun kita tidak tahu bila diadakan, tempohnya sampai akhir tahun depan. Kita sentiasa bekerja turun ke bawah menemui rakyat untuk kita perkuatkan jentera parti GRS dan juga Gagasan Rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Hajiji berkata parti itu bukan anggota GRS, justeru isu parti berkenaan menarik sokongan tidak membabitkan kedudukannya dalam gabungan.
“KDM ini bukan ahli GRS. Dia bukan dalam gabungan GRS. Jadi tidak timbul dia tarik sokongan atau tidak, itu dia punya pasal.
“Yang penting di sini, dia mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat ini telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri. Yang penting sokongan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.






