KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes baharu positif COVID-19 di Sabah terus meningkat dan sekali lagi mencatat rekod baharu dengan 1,379 KES hari ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, data lapangan menunjukkan terdapat kenaikan tinggi kes positif di dua kluster sedia ada.
“Kluster Gambaron 2 di Telupid naik 68 kes sementara Kluster Pauh di Kinabatangan naik 60,” katanya dalam satu rumusan harian.”
Katanya daerah Kota Kinabalu mencatat kenaikan 110 kes berbanding kelmarin (Sabtu) dan kekal sebagai daerah dengan jumlah kes yang tertinggi.
“Dari 241 kes naik ke 351, dimana hampir 66 peratus pesakit merupakan kontak rapat. Seramai 83 orang atau 24 peratus merupakan hasil saringan mereka yang bergejala…
“Kecuali kes-kes yang melibatkan kluster, penambahan yang tinggi berlaku di kawasan perbandaran kerana jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.
“Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat agar sentiasa mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan sosial,” tegasnya.

Hanya daerah Kuala Penyu mencatatkan sifar kes.
Selain itu, terdapat juga 17 kes yg melibatkan orang kena tahan (OKT) yang ditempatkan sama ada dalam penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen.
Pecahan kes baharu positif COVID-19 mengikut daerah masing-masing adalah seperti berikut:
Kota Kinabalu – 351
Tawau – 160
Tuaran – 152
Penampang – 113
Sandakan – 75
Telupid – 72
Papar – 72
Putatan – 64
Kinabatangan – 61
Tenom – 41
Kota Belud – 41
Keningau – 39
Kota Marudu – 22
Ranau – 18
Pitas – 13
Semporna – 12
Kalabakan – 12
Lahad Datu – 11
Kunak – 11
Beaufort – 11
Beluran – 9
Tongod – 6
Nabawan – 5
Sipitang – 5
Tambunan – 2
Kudat – 1
Kuala Penyu – 0