KIULU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menegaskan hanya kerajaan negeri yang diterajui GRS mampu menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah.
Beliau berkata, kestabilan politik adalah asas utama bagi memastikan Sabah terus membangun melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, tanpa mengorbankan hak-hak negeri.
“Kita mahu menjaga negeri kita sendiri. Untuk itu, kita memerlukan sokongan rakyat agar GRS dikembalikan sebagai kerajaan dalam pilihan raya ini bagi memastikan kestabilan politik Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu, hari ini.
Hajiji, yang sekali lagi mempertahankan kerusi Sulaman, menolak dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil segala-galanya daripada Sabah.
Tegasnya, kerjasama antara negeri dan Persekutuan tidak bermakna Sabah tunduk atau mengalah dalam tuntutan hak negeri.
“Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas mempertahankan tuntutan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan MA63,” katanya.
Menurut beliau, adalah satu kerugian besar jika GRS tidak diberi mandat meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini menunjukkan hasil ketara.
Menjawab dakwaan kononnya kerajaan GRS gagal, Hajiji berkata realitinya pembangkanglah yang gagal mengurus negeri sewaktu diberi peluang selama lebih dua tahun.
“Mereka hanya pandai bermain retorik, membangkitkan isu tanpa isi, dan kehabisan idea untuk menawarkan sesuatu yang realistik kepada rakyat,” katanya.
Hajiji turut melahirkan keyakinan bahawa calon GRS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, akan dikembalikan sebagai wakil rakyat berdasarkan khidmat cemerlangnya kepada penduduk setempat.
Dengan hanya empat hari menjelang hari mengundi, beliau menyeru rakyat membuat pilihan yang tepat agar semua kejayaan yang telah dicapai dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang.






