KOTA KINABALU, SABAH – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes suapan yang dianggarkan bernilai RM170,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 51 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.
Difahamkan, suspek dipercayai telah menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pengubahsuaian rumah miliknya yang dianggarkan bernilai RM170,000 daripada kontraktor…
sebagai balasan untuk melancarkan segala tuntutan bayaran bagi kerja yang telah dilakukan oleh kontraktor tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Katanya lagi, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah pada masa terdekat.