Perpaduan Kaum Penting Untuk Menjamin Kestabilan Ekonomi Dan Politik – Awang Aslee

Perpaduan Kaum Penting Untuk Menjamin Kestabilan Ekonomi Dan Politik – Awang Aslee

0
SHARE

KUALA PENYU, SABAH – Perpaduan hubungan etnik antara masyarakat majmuk di Sabah penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

Ketua Umno bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited.

Menurut beliau, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci menghadapi ancaman supaya negara dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Di kebanyakkan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan sekaligus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan,” katanya…

Beliau berkata demikian selepas mengagih-agihkan buah limau mandrin dan kad ucapan Tahun Baru Cina kepada golongan peniaga di daerah Kuala Penyu dan Menumbok kelmarin.

Awang Aslee bersama rombongan Umno bahagian Beaufort ketika menyerahkan buah limau dan kad ucapan Tahun Baru Cina di salah sebuah rumah ibadat di pekan Menumbok…

Awang berharap perayaan sambutan Tahun Baru Cina dijadikan asas memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negeri ini melalui konsep Keluarga Malaysia walaupun perayaan tersebut sinonim dengan masyarakat tiong hwa.

“Sabah adalah ikon kepada perpaduan kaum walaupun ianya terdiri dari pelbagai bangsa,budaya dan agama namun semangat kekeluargaan dalam setiap perayaan yang kita rayahkan masih terpelihara dan perlu kita pertahankan,” katanya.

Menurutnya, dalam proses pembangunan, rakyat Sabah akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar.

“Dengan itu, negara amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu dan sekarang,” jelas Awang.