SEMPORNA, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) mematahkan cubaan Lima warganegara Malaysia yang disyaki cuba menyeludup keluar minyak diesel di perairan Pulau Bohayen semalam.
Radar Sistem Pengawasan Pesisir (CSS) berhampiran Pulau Danawan mengesan bot kargo yang bergerak mencurigakan dari arah Semporna menuju ke arah luar sempadan perairan Filipina di pada jam 2.10 petang.
“Berdasarkan kepada pengesanan tersebut, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan VIPER 04 bersama Tim QRF melaksanakan pintasan,” kata Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kapal kargo tersebut telah diiringi ke Jeti Azumi untuk pemeriksaan terperinci.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan terdiri daripada lima orang awak-awak lelaki berusia antara 31 hingga 54 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah…
“Kapal kargo tersebut membawa minyak diesel berkapasiti 70,000 liter yang dianggarkan bernilai RM 150,500.
“Hasil keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal kargo tersebut dianggarkan bernilai RM 650,500,” jelasnya.
Kapal kargo tersebut ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jeneral Abdul berkata kesemua awak-awak kapal kargo tersebut telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan seterusnya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 9.00 malam.
Katanya lagi, semua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan lanjut.
“Kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM, PDRM, APMM dan KKM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah,” ujar beliau.