Poster Boy PM, Kita Konsisten – Ramie

Poster Boy PM, Kita Konsisten – Ramie

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah diminta tidak keliru dengan dakyah sesetengah pihak yang terpengaruh unsur satu undi untuk BN, diumpamakan satu undi untuk Presiden BN sebagai Perdana Menteri.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, helah halus yang dimainkan sesetengah pihak itu cuba mengelirukan orang ramai memandangkan persetujuan telah dimeterai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob adalah Poster Boy BN sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Jadi saya mintalah para penyokong dan ahli BN yang sedang hangat berkempen di negeri ini, jangan terkeliru dengan dakyah tersebut sedangkan sudah dipersetujui bahawa Datuk Seri adalah bakal PM kita jika BN mendapat mandat penuh.

“Maka naratif demi naratif yang dimainkan sesetengah pihak untuk menyatakan satu undi BN merupakan satu undi kepada Presiden sebagai Perdana Menteri adalah salah, “ katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, antara GRS dan BN juga dilihat mempunyai matlamat yang sama dan tidak tergugat dari segi kemuafakatannya.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu lawatan di Tenom baru-baru ini, bahawasanya GRS dan BN terbentuk selepas PRN16 dulu merupakan satu persefahaman utuh.

“Kita mempunyai satu persefahaman dan kerjasama yang sama iaitu memperjuangkan hak rakyat Sabah, dan tidak tergugat sejak dua tahun lalu…

“Tentang isu-isu yang timbul sebelum ini itu kita gambarkan sebagai pancaroba politik dan kita tidak dapat lari daripada masalah, namun yang penting matlamat BN dan GRS itu adalah sama,” katanya.