25 Peratus Kanak-Kanak Di Malaysia Telah Lengkap Vaksin COVID-19

25 Peratus Kanak-Kanak Di Malaysia Telah Lengkap Vaksin COVID-19

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Berdasarkan laporan CovidNow, sebanyak 911,666 atau 25.7 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia telah lengkap menerima vaksin setakat pada Sabtu.

Pemberian vaksin itu adalah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids).

Laman web itu berkata, sebanyak 1,546,751 atau 43.6 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,896,706 atau 93.1 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,994,219 atau 96.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada masa sama, sejumlah 16,041,560 atau 68.2 peratus golongan dewasa telah menerima dos penggalak manakala 22,967,973 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,243,935 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 23,115 dos vaksin Covid-19 harian diberikan semalam melibatkan 4,848 dos pertama, 17,011 dos kedua dan 1,256 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,389,427.