KOTA KINABALU, SABAH – Kesan Demam Babi Afrika (ASF) dan kenaikan harga makanan khinzir dipersalahkan sebagai punca kejatuhan dramatik dalam pengeluaran daging babi di Sabah yang menyebabkan kenaikan harga.
Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, setakat Mac tahun ini, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melaporkan ASF secara langsung menyebabkan kematian 3,259 babi belakang rumah, 199 babi hutan dan 5,534 babi komersial.
“Angka ini tidak termasuk kes jangkitan ASF yang tidak dilaporkan.
Justeru, saya menggesa pemilik khinzir belakang rumah dan khinzir komersil supaya memberi kerjasama kepada kementerian dengan melaporkan sebarang kematian yang berlaku di ladang mereka…
“Kementerian juga menasihatkan supaya tidak menjual atau mengangkut babi hidup, sama ada babi itu datang dari daerah yang diisytiharkan ASF atau tidak. Semua babi hidup mesti dikuarantin di situ,” katanya.
Tambah Kitingan, proses pemusnahan juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh DVS dan jabatan itu perlu dimaklumkan untuk tujuan pemantauan dan dokumentasi.
Bagi mengimbangi kekurangan bekalan daging babi di pasaran, beliau berkata kementerian telah membenarkan pengimportan daging babi dari Denmark dan Perancis buat sementara waktu.
“Kementerian telah meluluskan lesen kepada pengimport tempatan untuk mengimport 28,000kg perut babi dari Perancis, dan kami juga telah meluluskan lesen untuk mengimport 241,635 kg daging babi sejuk dan produk daging babi lain dari Sepanyol, Singapura, China, Denmark dan Perancis,” katanya.
Bagaimanapun, Jeffrey berkata ASF bukan satu-satunya masalah yang menyebabkan pengeluaran daging babi berkurangan di Sabah atau punca kenaikan harga daging babi di pasaran tempatan.
Beliau berkata kenaikan harga makanan haiwan di pasaran global telah mendorong penternak lain, bukan sahaja penternak babi, untuk mengurangkan pengeluaran.
Harga makanan haiwan meningkat 10 hingga 40 peratus antara Ogos tahun lalu dan Mei tahun ini.
Jagung, sebagai contoh, telah meningkat sebanyak 40 peratus, daripada RM1,500 satu tan metrik pada Ogos tahun lalu kepada RM2,100 satu tan metrik pada Mei tahun ini.
“Petani mengadu mengenai kos pengeluaran yang tinggi. Malah ada yang memilih untuk menghentikan operasi sepenuhnya. Jika harga makanan haiwan di pasaran global terus meningkat, saya bimbang kesan jangka panjang terhadap keselamatan makanan tempatan,” katanya.
Bagi mengelak kekurangan makanan ini, beliau berkata kementeriannya kini sedang berusaha menambah bilangan pusat penyembelihan yang diluluskan di luar negara yang membolehkan lebih banyak daging termasuk ayam diimport ke Sabah.
“Kementerian terus mencari jalan untuk memastikan permintaan tempatan dipenuhi sambil turut menyokong petani tempatan kita,” katanya.





