Bekas Menteri Sabah Cedera Dibaling Batu

Bekas Menteri Sabah Cedera Dibaling Batu

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PENAMPANG – Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah, Datuk Conrad Mojuntin dicederakan seorang lelaki warga Indonesia di rumahnya di Kampung Dohunsug dekat sini pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo Online, dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi tersebut, mangsa berusia 70 tahun cedera pada bahagian belakang kepala selepas dibaling batu oleh suspek yang dalam cubaan menceroboh kediamannya.

Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu kini dilaporkan stabil.

Difahamkan, ketika kejadian Conrad yang pernah memegang portfolio menteri antara tahun 1982 hingga 1985, menyedari seorang suspek tidak berbaju memecah masuk halaman rumahnya.

Lantas beliau segera memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum mengejar suspek tersebut.

Suspek yang berjaya melarikan diri dikatakan sempat membaling batu sehingga terkena pada bahagian belakang kepala mangsa.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, mengesahkan mengenai insiden berkenaan.

“Susulan laporan yang diterima lelaki warga asing, 32, dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri berjaya ditangkap polis di Jalan Pintas pada pukul 6.30 pagi,” katanya hari ini.