180 Asnaf Terima Bantuan Sempena Program Amal Berbuka Puasa – Awang Kadin

180 Asnaf Terima Bantuan Sempena Program Amal Berbuka Puasa – Awang Kadin

0
SHARE
Antara kanak-kanak yang bersama-sama dalam program Shopping Raya sempena Program Amal Berbuka Puasa di Sandakan...

SANDAKAN, SABAH – Seramai 180 golongan asnaf memperolehi manfaat bantuan disalurkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersempena Program Amal Berbuka Puasa membabitkan enam lokasi di negeri ini.

Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang berkata, antara lokasi menerima sumbangan tersebut iaitu meliputi daerah Kalabakan, Merotai, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

Katanya, setakat ini terdapat 20 lagi kawasan masih belum dilawati dalam Program Amal Berbuka Puasa UPPM dengan kerjasama beberapa syarikat korporat termasuk Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Benta Wawasan Sdn Bhd dan Sabah Softwood Berhad.

“Kita sangat yakin Program Amal Berbuka Puasa ini sangat ditunggu-tunggu serta mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat kurang upaya yang sangat memerlukan bantuan berkenaan…

“Selain berbuka puasa, ada aktiviti sampingan lain diwujudkan iaitu membawa kanak-kanak kurang berkemampuan ini membeli persiapan Hari Raya termasuk baju melayu serta keperluan lain untuk kegunaan perayaan,” katanya di sini semalam.

Awang Kadin (tengah) bergambar bersama dalam program Shopping Raya sempena Program Amal Berbuka Puasa di Sandakan…

Awang Kadin berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama syarikat ini adalah tanda keprihatinan syarikat berkenaan untuk membantu golongan memerlukan khususnya anak-anak yatim serta asnaf meraikan hari lebaran dengan lebih bermakna.

“CSR sempena Ramadan ini merupakan inisiatif Kim Teck Cheong Consolidated bagi menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dengan program berbuka puasa dan menyumbang kelengkapan perayaan serta duit raya…

“Hari ini (semalam) kanak-kanak terbabit bersama-sama berkesempatan shopping raya di beberapa Pasaraya Servay Hypermarket dan Parkwell Servay di sekitar daerah Sandakan,” jelas Awang Kadin.

Menurutnya, beliau berharap dengan program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos anak-anak ini bagi persiapan Aidilfitri memandangkan semua kos perbelanjaan raya bukannya jumlah kecil yang akan ditanggung oleh ibu bapa mereka.

Redonah (kiri) dan Siew Yee (tengah) bersama-sama kanak-kanak dalam program Shopping Raya sempena Program Amal Berbuka Puasa di Sandakan…

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, masalah persiapan inilah menjadi kerumitan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga. Malah ia boleh mencecah ribuan ringgit terutamanya kepada yang mempunyai bilangan anak yang ramai…

“Apabila tengok anak-anak ini gembira terpancar pada wajah mereka, saya bersyukur sangat-sangat. Itu sudah memadai pada saya kerana mereka juga dapat menyambut Syawal seperti orang lain,” tambah Awang Kadin.

Siew Yee bersama kanak-kanak dalam program Shopping Raya di Sandakan…

Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau bersama isteri, Datin Siew Yee dan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda.