KOTA BELUD: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dijangka menjadi antara gelanggang paling sengit pada Pilihan Raya Negeri ke-17, apabila sekurang-kurangnya lima parti politik dijangka meletakkan calon.
Penyandang, Datuk Mohd Arsad Bistari daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dijangka berdepan cabaran daripada Barisan Nasional (BN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Warisan dan Pakatan Harapan (PH).
Antara nama yang disebut bakal bertanding termasuk Dato’ Baharul Sawi (BN), John Samud atau Dr Rimin Maun (KDM) dan Datuk Ts. Mustapha Sakmud (PKR).
Penganalisis politik, Dr Gundohing Kanul Gindol berkata, dengan 17,000 pengundi berdaftar yang hampir seimbang antara Bajau dan Dusun, perebutan undi kaum Dusun dijangka menjadi penentu kemenangan.
“Calon Bajau yang berjaya meraih sokongan Dusun terbanyak berkemungkinan besar menang,” katanya.
Pada PRN 2020, Arsad menang dengan majoriti 1,685 undi atas tiket BN/Umno, menewaskan calon bebas Musbah Jamli. Mustapha ketika itu memperoleh 1,852 undi.
Dr Kanul berkata Baharul dilihat sebagai muka baharu yang popular di kalangan pengundi muda Umno, manakala Arsad kekal sebagai tokoh mesra rakyat.
“Saingan di Tempasuk akan lebih jelas selepas penamaan calon, tetapi apa pun, ia pasti menarik,” katanya.






