MAKKAH – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. berkata, pujian Arab Saudi tentang kecekapan Malaysia dalam mengendalikan operasi haji adalah sesuatu yang amat bermakna.
Jelas beliau, rekod kecemerlangan agensi itu tidak hadir begitu sahaja tetapi ia adalah usaha berterusan dengan kerjasama erat antara petugas serta jemaah haji Malaysia.
“Sangat membanggakan apabila Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah mengungkapkannya di hadapan barisan pemimpin Islam dari pelbagai negara Islam dan menasihatkan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik.
“Ia kebanggaan kepada kita. Panel-panel lain juga ada menyebut tentang pengurusan Malaysia dan TH…
“Apa (kelebihan) yang diberi kepada Malaysia oleh Arab Saudi bukan berlaku begitu sahaja tetapi mestilah berdasarkan merit dan rekod baik,” katanya.
Pada musim haji tahun ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara pertama yang memperoleh permit pengoperasian hospital di Arab Saudi, menjadi negara pertama yang memilih waktu melontar serta terpilih antara lima negara dalam program Makkah Route.