KOTA KINABALU], SABAH – Tuntutan wang pertunangan dipercayai menjadi punca kes bunuh dan kerat susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh wanita di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal pada Khamis.
Dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut selepas operasi dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan.
Pada kira-kira jam 4.30 petang hari kejadian, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, selepas saksi memaklumkan mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
Susulan itu, pada jam lebih kurang 8.10 malam, seorang lelaki berumur 71 tahun ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan.

Pada jam kira-kira 10.30 malam hari sama, seorang lagi suspek berumur 19 tahun diberkas di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis memandang serius kes ini dan memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.






