ECoS Rampas Barangan Elektrik Tidak Lulus SIRIM Bernilai Lebih RM300,000

ECoS Rampas Barangan Elektrik Tidak Lulus SIRIM Bernilai Lebih RM300,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) merampas dan menyita barangan kelengkapan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM bernilai lebih RM300,000 dalam serbuan ke atas dua premis di sini.

Operasi yang julung kali dilaksanakan itu melibatkan 23 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai SIRIM Berhad selaku Badan Penilaian Pematuhan yang diiktiraf oleh ECoS.

Serbuan berkenaan dijalankan bagi memastikan kelengkapan elektrik yang dijual mematuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024).

Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham berkata, operasi tersebut dilaksanakan susulan pengeluaran Notis Larangan pada Disember 2025.

Namun begitu, beberapa premis masih didapati ingkar mematuhi notis tersebut dan terus menjual kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, seperti yang diperuntukkan di bawah subperaturan 110(2) PPBE 2024, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menjual kelengkapan elektrik pengguna yang tidak mematuhi kehendak perundangan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“ECoS menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara serta memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sabah,” katanya.