
KOTA KINABALU, SABAH – Bandaraya ini bakal mempunyai tambahan 800 bilik untuk memenuhi keperluan sektor pelancongan negeri yang semakin pulih dengan siapnya The Peninsula Kota Kinabalu dijangka pada tahun 2028.
Melancarkan projek itu di daerah pusat perniagaan (CBD) di sini, hari ini, Ketua Menteri
Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembangunan bercampur bersepadu di atas tapak seluas 14.89 ekar itu juga menunjukkan keyakinan pemaju Trillium Development Sdn Bhd
dalam pasaran hartanah Sabah yang teguh.
Hajiji yakin perkembangan terkini dan pembangunan bercampur lain di tepi pantai akan memberi keyakinan kepada pelabur dalam pembangunan hartanah di Sabah.
Pembangunan tersebut akan menyaksikan pembinaan blok pangsapuri perkhidmatan, menara kediaman premium, blok pejabat, pusat membeli-belah, tempat letak kereta bertingkat, ‘commercial suite’, hotel empat bintang Grandis @ The Peninsula dan sebuah lagi hotel lima bintang.
Hajiji berkata pembangunan Kota Kinabalu Peninsula menunjukkan trend industri pelancongan negeri yang semakin meningkat yang mencatat 2.6 juta ketibaan tahun lepas berbanding 1.7 juta pada 2022.
Dengan pembangunan berterusan hotel baharu lain dalam pelbagai peringkat penyiapan, Sabah
akan melihat lebih daripada 3,000 bilik yang tersedia.
Ini termasuk Club Med di Kuala Penyu, Alila Resort di Tuaran, Intercontinental Hotels and Resorts, Papar, Avani Hotel, Crowne Plaza, Fairfield by Marriot dan Hotel Sheraton semuanya di Kota Kinabalu.
Pada masa ini, Sabah mempunyai sejumlah 26,822 bilik hotel yang tersedia.