Warga Emas Maut Tertimbus Tanah Runtuh di Belakang Hotel di Sandakan

Warga Emas Maut Tertimbus Tanah Runtuh di Belakang Hotel di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan awal pagi tadi.

Mangsa, Agustine Frederick J. Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.39 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak di Super OYO 1027 Hotel London, pusat bandar Sandakan.

“Setibanya pasukan bomba pada jam 6.48 pagi, didapati seorang mangsa tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah di bahagian belakang bangunan hotel,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.

“Mangsa yang merupakan kakitangan hotel dipercayai cuba menghidupkan generator (genset) yang terletak di bahagian belakang bangunan ketika kejadian tanah runtuh berlaku lalu menimbus mangsa,” katanya.

Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menggali runtuhan tanah menggunakan peralatan penyodok bagi mengeluarkan mangsa.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan pihak KKM dan PDRM itu dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 8.19 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian.

Operasi berkenaan diketuai Pegawai Bomba Kanan I Haris Mustapha selaku Komander Operasi dengan kekuatan 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.