SOGDC, SEDCO Mining Meterai MoU Perkukuh Pembangunan Industri Sabah

SOGDC, SEDCO Mining Meterai MoU Perkukuh Pembangunan Industri Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan pembangunan industri di Sabah, khususnya di kawasan Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP).

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan negeri di bawah kementeriannya itu dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif kerjasama antara agensi pembangunan negeri penting bagi memastikan penyelarasan dasar dan pelaksanaan projek dapat dilakukan dengan lebih cekap serta berkesan, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan Wawasan Sabah First.

“Kerjasama bersepadu seperti ini memudahkan penyelarasan pemantauan berkaitan dasar dan perundangan, sekali gus memacu semangat berpasukan yang lebih kukuh antara agensi pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SOGDC dan SEDCO Mining Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hyatt Regency, di sini, semalam.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Mohd Azmir Datuk Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDCO Mining, Shamsul Bahri Johari.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara dua entiti negeri yang memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menekankan pendekatan pembangunan bersepadu, di mana agensi pembangunan negeri perlu bergerak secara bersama bagi mengoptimumkan potensi sumber serta peluang pelaburan yang ada.

Beliau berkata, kerjasama itu juga membuka ruang kepada pembangunan yang lebih komprehensif di kawasan SOGIP yang merupakan antara hab industri strategik di Sabah.

“Melalui inisiatif seperti penambakan tanah, keluasan kawasan pembangunan industri di SOGIP berpotensi dipertingkatkan bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan industri pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata potensi untuk mendalamkan laluan masuk perkapalan ke SKSIP dijangka dapat meningkatkan keupayaan pelabuhan menerima kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan kedudukan Sabah sebagai hab industri serta perdagangan serantau.

Katanya, peningkatan kapasiti infrastruktur industri, pelabuhan dan logistik dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri di samping membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan ekonomi Sabah terus berkembang secara progresif, pelaburan meningkat dan rakyat Sabah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri serta peningkatan kesejahteraan ekonomi,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; serta Pengerusi SOGDC, Datuk Ir. Shahelmey Yahyah.