Warga Emas Rugi Lebih RM684,000 Terperdaya Phone Scam di Labuan

Warga Emas Rugi Lebih RM684,000 Terperdaya Phone Scam di Labuan

0
SHARE

LABUAN: Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM684,400 selepas menjadi mangsa penipuan penyamaran melalui panggilan telefon atau phone scam dalam kejadian yang dilaporkan di sini pada 7 Mac lalu.

Polis Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang berusia 66 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai keselamatan siber sebelum disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Menurut kenyataan itu, mangsa kemudian diugut kononnya terlibat dalam kes pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.

“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanannya ke beberapa akaun bank yang diberikan atas alasan kononnya bagi tujuan ‘open book audit’ untuk mengesahkan wang tersebut adalah sah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang panik dan takut dengan dakwaan tersebut telah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun yang diarahkan suspek.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM684,400,” katanya.

Menurut beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa.

“Tiada mana-mana agensi kerajaan akan meminta orang awam memindahkan wang ke akaun lain bagi tujuan siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu atau menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan mencurigakan,” katanya.