Polis Thailand Buru Warga Malaysia Dipercayai Dalang Sindiket Judi Dalam Talian

Polis Thailand Buru Warga Malaysia Dipercayai Dalang Sindiket Judi Dalam Talian

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Polis Thailand melumpuhkan sindiket judi dalam talian dan menahan 16 pekerja dalam satu serbuan di sebuah kondominium di selatan Narathiwat, dipercayai didalangi warga Malaysia yang kini diburu pihak berkuasa.

Pegawai penyiasat di Sungai Kolok, Narathiwat, Leftenan Kolonel Alumt Mekarat yang dipetik Bernama berkata bahawa Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) dan anggota polis Sungai Kolok menyerbu kondominium itu Rabu lalu.

“Hasil maklumat dan siasatan selama sebulan, pihak polis menahan 16 pekerja berusia antara 23 dan 30 tahun selain empat warga Thailand dan 12 Myanmar selain merampas wang tunai RM14,500.

“Siasatan awal mendapati, seorang rakyat Malaysia, dengan nama panggilan KG, dipercayai mendalangi sindiket ini dan semua wang akan dipindahkan ke akaun miliknya.

“Kita akan minta bantuan rakan dari Malaysia untuk memburu dalang terbabit,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Tambah beliau, semua suspek ditahan dan akan didakwa melakukan perjudian haram serta melanggar perintah darurat.

Polis percaya sindiket itu menggunakan kondominium sebagai pusat operasi dan asrama pekerja.

Rekod transaksi berbilion baht turut ditemukan di salah satu komputer riba yang dirampas.