KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menyita sebuah ekskavator dan sebuah lori dalam operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pengorekan serta pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan, di sini, pada 5 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Sr. Chua Ming Ling @ Alan berkata, operasi tersebut dijalankan selepas pasukan penguat kuasa melakukan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu susulan maklumat mengenai kegiatan pengambilan pasir haram di kawasan berkenaan.
Menurutnya, serbuan dilancarkan sekitar jam 9.45 pagi di lokasi yang dikenal pasti.
“Hasil serbuan itu, pihak jabatan telah menyita sebuah ekskavator jenis CAT dan sebuah lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung operasi tersebut dan kertas siasatan akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa bagi melengkapkan siasatan.
“Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68),” katanya.
Menurutnya, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama antara pasukan penguat kuasa Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin masyarakat Kota Belud serta maklumat daripada orang awam.
Tambah beliau, jabatan akan terus mempergiat pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh negeri.
“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah,” katanya.






