Kerajaan Negeri Akan Teruskan Rancangan Bina Pelabuhan Baharu Di KUDAT – TKM

Kerajaan Negeri Akan Teruskan Rancangan Bina Pelabuhan Baharu Di KUDAT – TKM

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan meneruskan perancangan untuk membina sebuah pelabuhan baharu di daerah Kudat yang bertujuan bagi merancakkan ekonomi setempat dan juga melonjakkan hasil pendapatan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perancangan tersebut tetap diteruskan setelah sekian lama ianya tertangguh memandangkan daerah Kudat berpotensi dibangunkan sesuai dengan lokasi yang strategik.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri berhubung dengan perkara ini dan mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan ini dan berharap kerajaan pusat bukan sahaja bersetuju namun diharap dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugreh Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam Selasa lepas.

Bung menerima cendera kenangan dari Pengurus Besar LPPS Felix Liangson selepas merasmikan majlis tersebut…

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah optimis perancangan itu akan dapat merangsang pembangunan setempat memandangkan banyak kawasan berhampiran Kudat seperti Kota Marudu, Matunggung dan Pitas yang masih kurang kemudahan infrastruktur yang efisien.

“Dalam masa yang sama perlaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo apabila siap sepenuhnya akan memudahkan lagi sistem perhubungan antara Kudat dan lain-lain bandar khususnya Kota Kinabalu yang menjadi pemangkin pembangunan kawasan Kudat dan sekitarnya,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, katanya perancangan pembangunan tersebut ialah inklusif dimana kerajaan juga akan membina satu bandar baharu selain mewujudkan zon perdagangan khas yang akan dapat membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat.

Sementara itu, Bung Moktar ketika berucap merasmikan majlis tersebut berharap kakitangan Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah yang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang akan mengekalkan memontum perkhidmatan cemerlang mereka selain turut memberikan anjakan paradigma kepada kaki tangan lain untuk mencapai tahap kecermalangan yang sama.

“Saya berharap bukan sahaja penerima anugerah perkhidmatan cemerlang, malah seluruh kakitangan LPPS akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memikul tugas dan amanah yang diberikan…

“Dengan melihat perubahan semasa ketika melaksanakan tugas, kita perlu memandang ke hadapan bukan ke belakang bagi meletakan fungsi dan peranan LPPS di tempat yang sewajarnya,” ujarnya.