KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam mempercepatkan proses imunisasi vaksinasi di negeri ini bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir. Shahelmey Yahya berkata proses vaksinasi amat penting dalam mengurangkan kadar jangkitan virus COVID-19 dalam masyarakat.
Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil maklum tentang situasi di hospital-hospital yang terlibat dengan pengurusan COVID-19 di Sabah.
“Kerajaan negeri mengambil maklum tentang keadaan penggunaan katil di hospital-hospital yang terlibat dalam keadaan maksima dan telah pun mendengar langkah-langkah perancangan dan persediaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghadapi situasi kritikal ini…
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kita bantu dan berusaha mempercepatkan proses imunisasi vaksin Covid-19 agar keadaan boleh cepat diredahkan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Exco Kesihatan Negeri Sabah itu memberitahu bahawa pusat panggilan yang dipanggil sebagai ‘Home Monitoring Call Centre’ (HMCC) telah diwujudkan bagi memantau pesakit COVID-19 yang melaksanakan kuarantin kendiri di rumah.
“Ianya bertujuan untuk membantu dan juga memantau pesakit-pesakit COVID-19 tahap 1 dan 2 yang tidak perlu ke hospital agar keadaan kesihatan mereka dapat dipantau dari masa ke semasa…
“Petugas-petugas yang membuat panggilan juga akan memberikan sokongan nasihat dan psikososial kepada pesakit yang sedang menjalankan kuarantin di rumah,” jelasnya.
HMCC merupakan inisiatif bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), sebuah jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tampil menerima vaksin bagi mereka yang layak dalam usaha mengurangkan jangkitan virus COVID-19 ini.