Sambutan Pendaftaran PADU Masih Hambar – Ahli Ekonomi

Sambutan Pendaftaran PADU Masih Hambar – Ahli Ekonomi

0
SHARE
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Hanya lebih kurang 16 peratus penduduk negara ini yang berusia 18 tahun ke atas mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sejak tujuh minggu selepas pelancarannya pada 2 Januari lalu.

Menurut ahli ekonomi terdapat sembilan faktor dilihat menjadi punca sambutan pendaftaran itu masih hambar. 

Pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpandangan tempoh masa yang lama untuk mendaftar dan banyak maklumat perlu diisi, menyebabkan ramai yang bertangguh atau enggan mendaftar dalam PADU.

Justeru itu, katanya, untuk meningkatkan pendaftaran, perlu ada pendekatan ganjaran dan hukuman, merujuk tawaran hadiah atau cabutan bertuah untuk mereka yang mengisi, manakala yang gagal berbuat demikian akan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan, sama ada tunai atau subsidi.

Perlu diberitahu bahawa kali ini bukan B40 sahaja yang layak, tetapi ada juga M40 yang layak untuk diberi bantuan. Oleh itu, kena isi dulu baru tahu layak atau tidak,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, kadar pendaftaran PADU yang rendah boleh dipengaruhi faktor sosioekonomi.

Katanya, seperti akses terhad kepada teknologi atau sambungan internet, kurang kesedaran mengenai platform PADU, halangan bahasa, persepsi terhadap pendaftaran dalam talian dan ciri demografi seperti umur, pendidikan serta lokasi geografi.

“Memahami dan menangani halangan ini boleh membantu meningkatkan kadar pendaftaran di PADU.

“Ada juga yang mungkin tidak mendaftar kerana berpandangan tiada manfaat atau mereka tidak akan mendapat perkhidmatan atau bantuan yang dimaksudkan.Ia juga, katanya, boleh disebabkan rasa tidak yakin terhadap keupayaan kerajaan mencapai sasaran dan menangani keperluan rakyat secara berkesan seperti objektif digariskan susulan pelaksanaan PADU, boleh memburukkan lagi ketidaksamaan sosial dan menghalang matlamat pembangunan,” katanya.

Justeru itu, beliau mencadangkan kerajaan, antara lain melancarkan kempen kesedaran lebih menyeluruh untuk menyebar luas maklumat berkaitan PADU, faedahnya dan cara serta bantuan mendaftar.

Berdasarkan maklumat terkini, seramai 3.56 juta individu sudah membuat semakan dan pendaftaran setakat tengah malam kelmarin dengan tiga negeri merekodkan pendaftaran tertinggi, iaitu Selangor 540,000 orang, diikuti Sarawak (460,000) dan Johor (350,000).

Bancian 2023, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 33 juta penduduk, meliputi 7.7 juta berusia 14 tahun dan ke bawah, 15 hingga 64 tahun (23.1 juta) dan 2.4 juta individu berusia 65 tahun dan ke atas.

Pendaftaran PADU dibuka sehingga 31 Mac depan untuk bukan penjawat awam, manakala pendaftaran untuk kakitangan kerajaan pula yang berakhir Khamis lalu menyaksikan 1.2 juta atau kira-kira 80 peratus mendaftar.