Lelaki Cedera Tersepit Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan di Hadapan City Mall, Semalam

Lelaki Cedera Tersepit Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan di Hadapan City Mall, Semalam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhadapan City Mall, Jalan Lintas, lewat malam tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 pada jam 11.15 malam.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang diketuai Mohd Hasrulnizam Mohd Zain tiba di lokasi empat minit kemudian, sejauh kira-kira lima kilometer dari balai.

Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva, Perodua Bezza dan Toyota Hilux Vigo.

Mangsa, yang berada di dalam Perodua Viva, tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat khas oleh pasukan bomba.

“Mangsa telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut,” kata Komander Operasi dalam kenyataan tersebut.

Operasi turut disertai sembilan anggota bomba bersama satu unit FRT dan satu unit EMRS. Turut hadir di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal lalu lintas dan menjalankan siasatan lanjut.

Tiada bahaya lain dikesan di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.42 malam.

Ketua Balai BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi, turut memaklumkan bahawa tindakan pantas dan koordinasi efektif antara agensi telah membantu mengawal keadaan dengan cepat dan mesra, sejajar dengan aspirasi JBPM.