Sambutan Aidilfitri DBKK Eratkan Lagi Silaturahim dengan Warga KK

Sambutan Aidilfitri DBKK Eratkan Lagi Silaturahim dengan Warga KK

0
SHARE
Sabin
Samin (tengah) semasa ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mampu menjadi wadah bagi mengeratkan lagi silaturahim.

Mayor DBKK Datuk Seri Sabin Samitah berkata majlis bertujuan mengeratkan hubungan bukan sahaja di kalangan staf dan pegawai DBKK, malahan hubungan dengan semua masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.

“Program hari ini (semalam) kita menjemput orang ramai untuk datang berhari raya bagi mengeratkan lagi hubungan bukan sahaja di antara staf DBKK, pegawai persekutuan dan negeri tetapi juga dengan penduduk dan orang ramai yang berada di sekitar Kota Kinabalu.

“Kita sebenarnya menganggarkan lebih kurang 1,500 orang tetamu sahaja, tetapi seperti yang kita lihat dari masa ke semasa orang ramai datang keluar masuk dewan ini.

“Mereka ini datang, dan selepas menjamu selera mereka beredar kemudian tetamu yang baru pula akan masuk beraya menjadikan jumlah anggaran yang hadir pada hari ini mencecah dua ribu orang,” ujar Samin.

Beliau yang juga pengerusi penganjur bagi majlis tersebut menyatakan beliau berpuas hati dengan penganjuran DBKK untuk sambutan aidilfitri kali ini dengan kehadiran tetamu melebihi sasaran.

“Saya cukup berpuas hati dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis kita pada hari ini,” jelasnya kepada media dalam Majlis Hari Raya Terbuka Aidilfitri DBKK 1445H/2024M Bersama Tuan Yang Terutama yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah Tan Sri RM Jasni, semalam.

Pada majlis tersebut, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 orang anak asnaf dari Rumah Anak Kesayangan Sabah (RAKS) Sembulan.

Majlis yang bermula seawal 10 pagi itu menyaksikan kehadiran tetamu yang ramai dengan disajikan jamuan hari raya yang beraneka jenis sambil dihiburkan dengan persembahan artis tempatan.

Antaranya, persembahan oleh Juara Bintang RTM 2016 Rosario Bianis bersama warga DBKK dan persembahan khas Setiausaha Perhubungan kepada TYT Datuk Rashid Mohd Tahir yang mendendangkan lagu “Seloka Hari Raya” nyata menghiburkan para tetamu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Kadzim M. Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ariffin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong. — JABATAN PENERANGAN SABAH