PITAS: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti memanah ikan di perairan Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas semalam, ditemui meninggal dunia pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama dua hari.
Menurut laporan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Pitas pada jam 8.00 pagi, 9 Oktober 2025, memaklumkan mengenai kehilangan mangsa di laut.
Komander Operasi, PBKI Farro Rynson Gusar berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakan telah turun ke laut untuk memanah ikan sebelum perahu mereka hanyut akibat arus kuat.
“Rakan mangsa naik ke atas bagang untuk menunggu sementara mangsa berenang mengejar perahu yang hanyut. Namun selepas beberapa lama, mangsa tidak kembali dan gagal dikesan,” katanya.
Tambahnya, orang kampung kemudian menemui perahu berkenaan di Pantai Terungguh, Pitas, namun mangsa masih tidak dijumpai.
Susulan itu, operasi SAR segera dilancarkan melibatkan pelbagai agensi termasuk APMM, PDRM, APM, KKM serta bantuan penduduk kampung.
Pada hari kedua operasi, sekitar jam 7.36 pagi tadi, pihak bomba menerima makluman daripada penduduk kampung bahawa mayat mangsa telah ditemui berhampiran kawasan bagang, lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemui oleh orang kampung bersama ahli keluarga di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia. Mayat kemudian dibawa ke tepi pantai menggunakan bot sebelum dihantar ke Hospital Pitas untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,” jelas beliau.
Lokasi penemuan mangsa dicatat pada koordinat 06°43.252’U, 116°54.385’T, iaitu kira-kira 4.4 kilometer barat daya Pantai Terungguh, Pitas.
Operasi SAR yang diketuai oleh BBP Pitas dengan kekuatan lima anggota serta sebuah jentera D-MAX ditamatkan pada jam 9.15 pagi hari ini.
Menurut Ketua Balai BBP Pitas, PBT II Noor Jali Maslah, insiden berkenaan menjadi peringatan agar aktiviti di laut dilakukan dengan lebih berhati-hati serta disertai dengan langkah keselamatan mencukupi, khususnya ketika keadaan cuaca dan arus laut tidak menentu.






