Dianggar 980,000 Pengundi Muda Berperanan Besar Tentukan Hala Tuju Politik Sabah –...

Dianggar 980,000 Pengundi Muda Berperanan Besar Tentukan Hala Tuju Politik Sabah – Azrul

0
SHARE

SANDAKAN: Golongan muda di Sabah dijangka menjadi penentu utama kepada hala tuju politik negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dengan lebih 980,000 pengundi berusia antara 18 hingga 40 tahun bakal memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana parti yang bertanding.

Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim berkata, kesedaran ini menjadi asas kepada kesepakatan Pemuda Gagasan Rakyat untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya akan datang.

“Pemuda Gagasan Rakyat komited bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan calon-calon GRS dalam PRN-17. Itulah kesepakatan yang kami capai dalam pertemuan saya bersama pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Zon Sandakan, yang turut disertai Ketua Beliawanis dan Naib Ketua Beliawanis bahagian-bahagian di zon berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Khamis.

Menurut Azrul, sokongan dan penyertaan anak muda amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri yang telah dirancang oleh kerajaan GRS dapat diteruskan.

“Kami yakin anak muda Sabah akan terus memberi sokongan kepada GRS untuk meneruskan agenda pembangunan negeri demi kebaikan serta kemaslahatan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan jentera Pemuda dan Beliawanis, agar setiap gerak kerja di lapangan dan di ruang digital dapat digembleng secara bersepadu serta berkesan.

Azrul berkata, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus mempertingkatkan penglibatan anak muda melalui pendekatan komunikasi dua hala, program komuniti, dan penerangan berasaskan fakta supaya golongan belia memahami kepentingan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri.

“Tumpuan utama kita adalah memastikan anak muda Sabah kekal bersama perjuangan yang menjamin masa depan lebih stabil, progresif dan berpaksikan pembangunan rakyat,” tegasnya.

Azrul turut menyeru seluruh jentera Pemuda dan Beliawanis agar terus menggembleng tenaga dalam menyampaikan mesej kestabilan dan kesinambungan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri pimpinan GRS.

Katanya, tumpuan utama kini adalah memperkukuh rangkaian akar umbi serta memperhebatkan pendekatan terhadap pengundi muda melalui platform digital dan lapangan agar mesej perjuangan GRS dapat disampaikan dengan berkesan menjelang PRN-17.

“Kesepaduan dalam barisan Pemuda dan Beliawanis amat penting untuk memastikan Sabah terus berada di landasan pembangunan yang stabil dan inklusif,” tambah beliau.