KOTA KINABALU: Jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada kira-kira jam 2.15 petang, hari ini.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan sebelum disembahyangkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sejurus selesai solat Jumaat.
Kenderaan yang membawa jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan sekitar 1.45 tengah hari.
Suasana mendung mengiringi perjalanan terakhir bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, yang turut dihadiri ribuan orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai, rakan politik serta masyarakat setempat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada jam 1.46 pagi, Jumaat.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia politik Sabah, khususnya warga Kinabatangan yang diwakilinya lebih dua dekad.






