Ben Chong Sanggah Tuduhan Warisan, Tegaskan Sokongan Kepada Komuniti Cina

Ben Chong Sanggah Tuduhan Warisan, Tegaskan Sokongan Kepada Komuniti Cina

0
SHARE

KOTA KINABALU: ADUN Tanjong Kapor (GRS), Datuk Ben Chong Chen Bin, menolak dakwaan tiga ADUN Warisan bahawa kenyataannya mengenai pelantikan wakil Cina dalam Kabinet negeri bersifat menghina.

Beliau menegaskan kenyataannya diputarbelit untuk kepentingan politik dan bukan gambaran sebenar terhadap masyarakat Cina.

“Tuduhan bahawa saya menghina masyarakat Cina adalah tidak berasas dan berniat jahat.

“Saya sendiri mewakili kawasan majoriti Cina dan telah berkhidmat bertahun-tahun untuk masyarakat ini. Saya tidak pernah, pada bila-bila masa, merendahkan kedudukan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan kenyataan asalnya berkait dengan realiti politik pilihan raya dan prerogatif Ketua Menteri, bukannya merit atau kelayakan kaum.

Chong turut menuduh Warisan memetik kenyataannya di luar konteks untuk membakar sentimen perkauman.

“GRS tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum. Ketua Menteri sendiri beberapa kali menegaskan komitmen untuk memastikan penyertaan semua komuniti, termasuk masyarakat Cina, dalam kerajaan,” tambahnya.

Beliau juga menafikan pernah menjanjikan jawatan kepada mana-mana pihak dan menegaskan bahawa tuduhan mengkhianati mandat pengundi adalah tidak masuk akal.

Chong menyeru semua pihak menghentikan politik perkauman dan menumpukan usaha membina perpaduan negeri.