Malaysia Sokong Penuh Penyertaan Timor-Leste Dalam ASEAN – Anwar

Malaysia Sokong Penuh Penyertaan Timor-Leste Dalam ASEAN – Anwar

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian jelas Malaysia dalam mendukung serta mempercepatkan proses penyertaan penuh Republik Demokratik Timor-Leste ke dalam ASEAN, sebagai tanda solidariti dan semangat persaudaraan serantau.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar memaklumkan beliau berkesempatan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Timor-Leste, José Manuel Ramos-Horta, selepas menamatkan sesi Sidang Kemuncak semalam.

Beliau menyatakan penghargaan atas semangat persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara serta menzahirkan sokongan terhadap perjuangan panjang rakyat Timor-Leste yang pernah melalui penderitaan akibat penindasan dan penjajahan.

“Malaysia merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf pengorbanan rakyat Timor-Leste dalam memperjuangkan kebebasan dan idealisme murni mereka sejak era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya sendiri pernah menegaskan di Parlimen bahawa Timor-Leste adalah sebahagian daripada keluarga rantau ini,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa keanggotaan ASEAN tidak seharusnya diukur berdasarkan kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya kepada tekad, iltizam dan semangat kenegaraan sesuatu bangsa.

“Malaysia sendiri suatu ketika dahulu bukanlah negara kaya. Laos dan Kemboja juga berdepan cabaran besar ketika diterima ke dalam ASEAN. Apa yang penting ialah wawasan dan keazaman untuk membina masa depan,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, kerajaan telah mengarah Wisma Putra untuk memperkukuh kerjasama teknikal dan penempatan pegawai Malaysia di Sekretariat ASEAN, Jakarta, bagi membantu Timor-Leste melengkapkan keperluan institusi dalam usaha penyertaan rasminya ke dalam ASEAN.

Perdana Menteri turut menyatakan kekaguman terhadap ketabahan rakyat Timor-Leste yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan walaupun melalui sejarah yang penuh luka.

“Di dunia hari ini, suara nurani semakin malap, namun Timor-Leste menyemangati kembali suara itu lahir daripada sejarah perjuangan dan pengorbanan rakyatnya,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, kehadiran Timor-Leste dalam ASEAN bukan sekadar menambah bilangan anggota, tetapi akan memperkaya nilai, jiwa dan nurani rantau Asia Tenggara yang bertuah ini.