KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan usaha memperkasa masyarakat setempat melalui pelaksanaan Program Living Lab (Makmal Hidup) Penyediaan Makanan yang diadakan di Hotel Lab, FPEP UMS, baru-baru ini.
Program berkenaan, yang dikenali sebagai Program Living Lab Pantai Dalit Tuaran, disertai 35 peserta daripada komuniti Kampung Pantai Dalit dan dikendalikan oleh pensyarah FPEP, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran, bersama Ahmad Shakani Abdullah.
Menurut Dr. Arif, program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari kaedah penyediaan sajian dengan teknik yang betul serta memperoleh ilmu praktikal dalam bidang kulinari.
“Sepanjang bengkel berlangsung, peserta bukan sahaja menerima pemindahan ilmu secara teori, tetapi turut menjalani latihan amali yang memberi pengalaman sebenar dalam penyediaan makanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen universiti untuk memperkasa pembangunan masyarakat melalui pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (experiential learning).
“Melalui bengkel ini, peserta memperoleh pelbagai pengetahuan baharu termasuk cara penyediaan hidangan yang betul serta pemilihan bahan berkualiti bagi meningkatkan mutu masakan,” jelasnya.
Dr. Arif, yang juga Pengarah Pusat Alumni UMS, turut menyatakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan bagi membantu komuniti meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan dalam bidang kulinari.
“Diharapkan usaha UMS membangunkan masyarakat berkemahiran tinggi dalam bidang penyediaan makanan dapat diteruskan melalui pelaksanaan bengkel atau kursus khas kepada penduduk setempat,” katanya lagi.
Program sehari itu turut menjadi platform kolaboratif antara universiti dan komuniti, selaras dengan aspirasi Universiti Malaysia Sabah untuk menjadikan ilmu sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar.






