MEF Cadang Perniagaan Dalam Negeri Dibenarkan

MEF Cadang Perniagaan Dalam Negeri Dibenarkan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya membenarkan perniagaan di negeri beroperasi, dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), manakala sekatan perjalanan antara negeri dikekalkan.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman yang dipetik Bernama berkata, tindakan itu akan membolehkan perniagaan dan ekonomi pulih, serta merancakkan semula pasaran pekerjaan.

“Kami tidak boleh tunggu untuk beralih ke Fasa Dua atau Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan jumlah kes COVID-19 harian kerana semakin banyak saringan dilakukan, keputusan positif juga akan meningkat…

“Itulah kebiasaannya kerana ia menjadi endemik dalam masyarakat dan kita perlu menerima ini sebagai realiti.

“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa membenarkan semua sektor yang tidak penting dibuka, termasuk sukan, kedai gunting rambut dan salun, tetapi tidak termasuk industri hiburan malam.

“Selain itu individu yang sudah menerima dua dos vaksin perlu dibenarkan makan di kedai atau restoran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MEF menyokong ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kelonggaran pergerakan tidak dilakukan secara terburu-buru atau terlalu awal tanpa mempertimbangkan kebimbangan mengenai varian Delta COVID-19.

Syed Hussain berkata, susulan itu, MEF menasihati majikan untuk lebih waspada dalam melindungi pekerja mereka, termasuk yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijalankan dengan baik untuk mendorong masyarakat menerima suntikan vaksin, namun tidak bermakna mereka yang sudah divaksinkan tidak akan dijangkiti…

“Kami juga bimbang mengenai varian lain seperti Alpha, kemungkinan Zeta, Delta Plus, Lambda serta varian lain yang tidak diketahui, yang dikesan di negara lain di dunia,” katanya.