KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan hasrat UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Sabah sebagai satu angan-angan yang jauh dari realiti politik semasa.
Beliau merujuk kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Suhaimi Nasir yang menyatakan UMNO-BN bakal bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) tahun ini.
“Tidak salah menyimpan angan-angan tetapi seseorang itu akhirnya perlu berpijak di bumi nyata,” kata Zulkarnain dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkarnain mempersoalkan sama ada keputusan untuk bertanding di 40 kerusi itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO atau dibuat secara unilateral oleh Suhaimi. Beliau turut mengingatkan bahawa Suhaimi sendiri tewas di kerusi N.50 Gum-Gum pada PRN-16 yang lalu.
“UMNO-BN hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi dalam PRN lalu, dan sehingga kini, saya masih belum nampak UMNO Sabah akan bangkit semula,” tambahnya.
Zulkarnain juga menegur sikap agresif Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menurutnya menjadi antara punca rakyat menjauhkan diri daripada UMNO.
“Mengenai cadangan meletakkan Bung sebagai ‘Poster Boy’, secara peribadi saya menjangkakan tindakan ini akan mempercepatkan proses penguburan UMNO di Sabah,” katanya.
Beliau menjangka, berdasarkan keadaan politik semasa dan kejayaan kerajaan GRS-PH menarik pelabur serta menyelesaikan isu rakyat secara berperingkat, UMNO-BN mungkin hanya mampu memenangi tujuh kerusi pada PRN akan datang.