Toleransi dan Hormat Tonggak Perpaduan Rakyat Sabah – Shahelmey

Toleransi dan Hormat Tonggak Perpaduan Rakyat Sabah – Shahelmey

0
SHARE

PUTATAN: Toleransi serta sikap hormat-menghormati terhadap kepelbagaian budaya dan tradisi menjadi asas kukuh perpaduan rakyat Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, warisan ini perlu diteruskan oleh generasi muda agar keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara.

“Sambutan Pesta Kaamatan yang dirayakan oleh suku Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) juga harus dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia, selari dengan tema “Kaamatan Untuk Semua”.

“Pesta Kaamatan bukan sahaja simbolik budaya tetapi juga lambang perpaduan yang tidak mudah digugat,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Potuki, Putatan, hari ini.

Shahelmey turut menggesa masyarakat KDMR agar melibatkan golongan muda dalam aktiviti perayaan bagi memelihara legasi tradisi nenek moyang, walaupun berdepan cabaran zaman dan perubahan iklim.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya Sabah, Mohd Sufian Matin, serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.