Sabah Buka Sekolah Kayak Arus Deras Pertama Bertaraf ACA dalam Negara

Sabah Buka Sekolah Kayak Arus Deras Pertama Bertaraf ACA dalam Negara

0
SHARE

KIULU: Sabah mencipta penanda aras baharu dalam sektor pelancongan pengembaraan dengan pelancaran sekolah kayak arus deras pertama di Malaysia yang diperakui oleh American Canoe Association (ACA).

Riverbug Kayak School yang dibangunkan oleh Traverse Tours Sdn Bhd beroperasi di The Adventure Centre (T.A.C) di Sungai Kiulu, kira-kira 1.5 jam dari Kota Kinabalu.

Pengarah Urusannya, Dares Saham berkata, program itu memperkenalkan model pembelajaran berstruktur berasaskan pensijilan antarabangsa, meliputi kemahiran teknikal berkayak, keselamatan, teknik menyelamat dan navigasi sungai.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membangunkan ekosistem pendidikan kayak tempatan yang mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar serta meletakkan Sabah sebagai hab latihan pengembaraan bertaraf antarabangsa di Asia Tenggara.

Pelancaran itu turut menyaksikan kejayaan latihan jurulatih lanjutan dikendalikan pakar bersekutu ACA dari Amerika Syarikat, Nik White, sekali gus melahirkan tenaga pengajar tempatan bertauliah mengikut piawaian global.

Selain latihan kayak, Traverse Tours turut memperluas penawaran kepada program keselamatan air dan penyelamatan profesional untuk agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA, dengan fokus kepada penyelamatan arus deras, kesiapsiagaan kecemasan dan pengurusan risiko.

Riverbug Kayak School juga menggabungkan elemen pelancongan pengalaman seperti glamping, perkhemahan dan ekspedisi sungai, menyasarkan pelbagai segmen termasuk sekolah antarabangsa, kumpulan korporat, universiti dan kelab pengembaraan.

Sungai Kiulu yang terkenal dengan keadaan arusnya yang selamat tetapi mencabar dijangka terus diperkukuh sebagai hab program luar bertauliah di peringkat serantau.