Harga Minyak Mungkin Diseragam Jika Konflik Asia Barat Berlarutan – Masiung

Harga Minyak Mungkin Diseragam Jika Konflik Asia Barat Berlarutan – Masiung

0
SHARE

TONGOD: Pengerusi Sedco Group, Datuk Masiung Banah tidak menolak kemungkinan harga bahan api di seluruh negara akan diseragamkan sekiranya konflik di Asia Barat terus memuncak.

Beliau berkata, pendekatan subsidi minyak secara menyeluruh semakin tidak mampan berikutan keterbatasan kewangan kerajaan, apatah lagi dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global.

“Jika krisis berpanjangan dan ketegangan melibatkan Iran serta Amerika Syarikat/Israel meningkat, tidak mustahil harga petroleum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga minyak dunia akan memberi kesan langsung kepada kos barangan harian, khususnya barangan import.

Masiung turut memberi peringatan bahawa subsidi minyak di Sabah dan Sarawak mungkin dibekukan jika kedudukan kewangan kerajaan semakin terhad, sekali gus menuntut rakyat bersedia menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau menggesa masyarakat mengamalkan gaya hidup berjimat cermat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, subsidi petrol dan diesel kini dianggarkan mencecah RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum konflik tenaga global, manakala subsidi bagi Sabah dan Sarawak sahaja dianggarkan RM383 juta sebulan.

Sementara itu, harga minyak di Semenanjung bagi tempoh 9 hingga 15 April menunjukkan peningkatan, dengan RON95 mencecah RM4.17 seliter dan RON97 RM5.35 seliter, masing-masing naik RM0.40, manakala diesel melonjak kepada RM6.72 seliter.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel kekal RM2.15 seliter dan RON95-BUDI pada RM1.99 seliter.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran PRN-17 dan sambutan Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak, yang dihadiri lebih 400 penduduk.