Hampir 1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Awal Pagi di Sandakan

Hampir 1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Awal Pagi di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Hampir 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi awal pagi Ahad, menyebabkan kira-kira 8,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan pada 1.32 pagi sebelum operasi pemadaman digerakkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kebakaran membabitkan rumah kayu rapat yang merebak pantas akibat angin kencang, kekurangan air, serta keadaan air laut surut yang menyukarkan operasi.

Api berjaya dikawal pada 8.30 pagi dan dipadam sepenuhnya tengah hari, dengan kawasan kira-kira 10 ekar musnah 100 peratus. Tiada kematian dilaporkan.

Memetik laporan Daily Express, Ketua Kampung Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Iting berkata kejadian dipercayai bermula daripada kecuaian ketika memasak di sebuah rumah di Jambatan A sebelum api merebak dan gagal dipadam oleh penduduk yang cuba membantu sebelum ketibaan bomba.

Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.