PUTATAN: Masyarakat digesa lebih kreatif dalam mengurus kos sara hidup dan keselamatan makanan dengan mengamalkan menu sihat berasaskan bahan tempatan.
ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, pemakanan sihat tidak semestinya mahal, sebaliknya memerlukan perubahan daripada rutin konvensional kepada pilihan lebih sihat.
“Menu makanan sihat tidak semestinya mahal dan memerlukan kreativiti masyarakat untuk beralih daripada rutin konvensional kepada menu lebih sihat menggunakan bahan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Sabah di Taman Pantai Lok Kawi, pada Sabtu.
Tambahnya, penggunaan hasil laut dan sayur-sayuran tempatan bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan, malah menyokong ekonomi komuniti serta menggalakkan integrasi nasional.
“Apabila kita membeli daripada jiran berbeza kaum, di situlah integrasi nasional berlaku secara semula jadi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menjadikan inisiatif menu sihat sebagai aktiviti rutin serta menarik minat generasi muda menghargai makanan tradisi yang diolah lebih sihat.
Menurutnya, pemakanan seimbang juga mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit serta memperkukuh perpaduan masyarakat.






