Dua Lelaki Cedera, Proton Wira Terbabas di Jalan Lubak Gadung Beaufort

Dua Lelaki Cedera, Proton Wira Terbabas di Jalan Lubak Gadung Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Dua lelaki dilaporkan cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Lubak Gadung, di sini, awal pagi Isnin.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.03 pagi menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba yang diketuai PBK II Samsudin Bin Tahir tiba di tempat kejadian pada jam 2.21 pagi, dengan jarak perjalanan kira-kira 12 kilometer dari balai.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang terlibat telah terlebih dahulu dihantar ke hospital oleh Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba. Mangsa pertama merupakan pemandu lelaki berusia 39 tahun, manakala seorang lagi mangsa lelaki turut mengalami kecederaan.

JBPM memaklumkan bahawa pasukan bomba bertindak memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat dan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.

Turut berada di lokasi ialah anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi membantu pengurusan keselamatan serta kebajikan mangsa. Operasi melibatkan sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Beaufort.