Loji Solar 7.5MW Dilancarkan di Tawau, Perkukuh Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah

Loji Solar 7.5MW Dilancarkan di Tawau, Perkukuh Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Sabah melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa tenaga hijau dengan pelancaran loji solar berskala besar berkapasiti 7.5MW di Balung, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe, yang menyifatkan projek kerjasama antara Constant Energy, Woodford Solar Energy Holding Sdn Bhd dan Gaya Belian Sdn Bhd itu sebagai langkah signifikan ke arah masa depan tenaga bersih di Sabah.

Phoong berkata, menjelang 2026, Sabah menyasarkan kapasiti tenaga solar sebanyak 350MW, merangkumi 20 hingga 25 peratus daripada campuran tenaga negeri.

Sebanyak 15 projek solar telah diluluskan pada 2024 dengan kapasiti gabungan 200MW.

“Projek seperti ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap diesel dan bahan api fosil, malah membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menjana pertumbuhan ekonomi mampan.

“Loji solar Balung ini menggunakan teknologi penjejak matahari yang membolehkan panel bergerak mengikut arah cahaya untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran tenaga,” katanya.

Phoong turut menekankan cabaran pembiayaan awal dalam sektor ini, namun menegaskan kerajaan negeri komited bekerjasama dengan pelabur swasta bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.

“Tenaga hijau bukan sekadar keperluan masa kini, ia adalah pelaburan untuk masa depan generasi akan datang,” tambah beliau.