Bincang Kerjasama Tanpa GRS–PH Plus Adalah Langkah Pra-Matang – Nizam

Bincang Kerjasama Tanpa GRS–PH Plus Adalah Langkah Pra-Matang – Nizam

0
SHARE
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan...

KOTA KINABALU, SABAH – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan sebarang perbincangan ke arah pembentukan kerjasama politik baharu tanpa melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus sebagai langkah pra-matang yang tidak menghormati kestabilan politik negeri.

Beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, yang menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu dilihat berdasarkan konteks politik tempatan yang berbeza daripada model politik Persekutuan.

“Sebagaimana ditegaskan oleh Datuk Armizan, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah untuk menjamin kestabilan pusat, namun tidak memerlukan formula yang sama digunakan di negeri.

“Sabah mempunyai keunikan dan sensitiviti politiknya tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kerjasama GRS–PH Plus yang terjalin selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan telah membawa kestabilan pentadbiran negeri dan membolehkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dengan jayanya.

Menurut beliau, pelan pembangunan tersebut telah memberi impak positif dalam sektor pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital, dan pengurusan sumber asli di Sabah.

Dalam pada itu, Nizam turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan landskap politik negeri perlu berasaskan rundingan inklusif yang menghormati struktur sedia ada serta berteraskan kepentingan rakyat Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan Pakatan Harapan Sabah yang teguh mempertahankan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika berlaku perubahan politik besar di peringkat pusat.

“Sokongan ini menunjukkan kerjasama yang berasaskan keikhlasan dan kepentingan rakyat mampu bertahan dalam menghadapi cabaran,” katanya.

Nizam juga menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen beliau memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pendekatan progresif dan bersungguh-sungguh Perdana Menteri dalam memperkasa Sabah harus dihargai dan diteruskan,” tegas beliau.

Menurutnya, GRS akan terus komited menjalin kerjasama bersama PH Plus demi kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.